KENINGAU: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengarahkan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D), khususnya aspek penyakit berkaitan koko.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata isu penyakit berkaitan koko akan menjadi masalah utama yang bakal menjadi antara punca industri koko di negara ini terjejas.

Beliau turut menyifatkan R&D adalah insiatif paling berkesan bagi mencari jalan mengatasi penyakit yang menjangkiti koko.

"Saya beritahu LKM untuk menumpukan perhatian kepada R&D dan penyakit koko, ini sebab bila ada penyakit (menjangkiti koko), kita perlu menyelesaikan dengan secepat mungkin. "Bila kita dapat menyelesaikan dengan cepat, maka kita akan untung.

Tetapi, jika tiada (pihak) menyelesaikan masalah ini, maka mereka (peladang koko) akan rugi. Jika mereka rugi, maka mereka akan tukar tanaman lain.

"Kita tidak mahu begitu, kita mahu biarkan mereka terus kekal (dalam industri) koko, jadi R&D penting untuk kita buat," katanya selepas merasmikan Kursus Teknologi Pasca Tuan dan Pemantapan Kelompok serta Perasmian Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejarah pernah mencatatkan industri koko sebelum ini pernah mengeluarkan sehingga 300,000 tan metrik koko dalam setahun.

Namun, katanya, kini negara hanya mampu mengeluarkan 500 tan metrik koko setahun disebabkan banyak penyakit berkaitan koko yang melanda.

"Kita tidak ada R&D yang cukup untuk mengatasi penyakit koko ini, jadi oleh sebab itu mereka rugi. Lama-kelamaan pengeluaran koko berkurang sehingga 500 tan metrik, sedangkan negara mengimport 500,000 tan metrik koko.

"Saya juga sudah mengarahkan LKM menjalankan usaha sama bersama syarikat besar untuk terbabit dalam industri koko negara," katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, kawasan pedalaman Sabah menunjukkan pencapaian pengeluaran koko yang baik dengan menyumbang 37.5 peratus daripada jumlah pengeluaran koko negara.

"Beberapa pekebun kecil koko di kawasan ini berjaya mengeluarkan hasil tinggi koko lebih 1,000 kilogram (kg) setiap tahun, berbanding produktiviti nasional sebanyak 100kg setiap tahun.

"Bagi menyokong pembangunan tanaman koko di pedalaman Sabah, LKM sedang melaksanakan beberapa program pembangunan seperti Program Pemulihan Kebun Koko, pembinaan Mini Pemprosesan Biji Koko serta menyampaikan teknologi pengurusan kebun koko melalui aplikasi teknologi 'Internet of Thing' (IoT) dan mekanisasi," katanya.

Mengulas mengenai Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau Ulu yang siap dibina dengan kos RM70,000 dan dimanfaatkan oleh 80 orang pekebun kecil koko, Johari berkata, sasaran pengeluaran adalah sebanyak 100 tan biji koko kering yang dijangka mampu memberi keuntungan melebihi RM200,000 setahun berdasarkan harga masa kini.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1277839/kpk-arah-lkm-beri-tumpuan-sepenuhnya-rd-atasi-penyakit-berkaitan

 

Sumber : Berita Harian