Pengeluaran getah negara menunjukkan trend penurunan sejak 2017 seperti statistik dikeluarkan Majlis Getah Malaysia (MRC), memberikan kesan besar bukan sahaja kepada kelangsungan komoditi berkenaan, bahkan masa depan pekebun kecil dan penoreh di luar bandar.

Malaysia pernah menjadi pengeluar utama getah, kini berada pada kedudukan ketujuh sebagai pengeluar getah asli terbesar dunia di belakang Thailand, Vietnam, Indonesia, China, India dan Ivory Coast.

Terdapat pelbagai faktor dalaman dan luaran mendorong penurunan pengeluaran hasil getah asli di negara ini. Sejak pandemik, pekebun kecil mula berdepan cabaran untuk keluar menoreh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memberi impak kepada kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan aktiviti menoreh di ladang.

Keadaan cuaca tidak menentu dan monsun turut membantutkan aktiviti pekebun serta pertumbuhan pokok getah, apatah lagi musim kemarau menyaksikan jumlah pengeluaran susu getah sangat rendah. Menurut Konsortium Getah Antarabangsa (IRCo), situasi itu menjejaskan pengeluaran getah asli sebanyak 10 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Tanaman getah tempatan turut dijangkiti penyakit 'pestalotiopsis' yang mempengaruhi kualiti pengeluaran susu getah di peringkat ladang.

Dalam aspek guna tenaga, sektor pertanian masih bergantung kepada buruh dan pekerja asing kerana kurang pembabitan generasi muda yang menganggapnya sebagai kerja kotor, susah dan bahaya serta upah tidak setimpal berbanding pilihan kerja lain.

Penghijrahan belia ke bandar dan meninggalkan kerja tradisi mengusahakan kebun getah sedia ada menyebabkan banyak kebun terbiar tanpa diselia dengan baik, apatah lagi kos menguruskannya lebih tinggi berbanding hasil jualan.

Pada 2005, harga getah mencecah RM8 sekilogram berbanding kini hanya sekitar RM2.20 hingga RM2.30 sekilogram. Harga ditawarkan amat rendah tetapi kos tambahan seperti meracun, baja, logistik dan pengangkutan terpaksa ditanggung penoreh serta pekebun kecil.

Justeru, perancangan jangka panjang kerajaan perlu membabitkan pakar dan rakan industri supaya pembangunan sektor ini sejajar dengan konsep Malaysia MADANI mengutamakan kesejahteraan rakyat pada peringkat bawahan terutama di luar bandar.

 Kerjasama wujud dasar lebih strategik 

Oleh itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Getah Malaysia (LGM) perlu bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan mewujudkan dasar lebih strategik untuk memastikan hala tuju industri getah negara di samping menjaga kebajikan pekebun kecil terkesan.

Sejajar Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), beberapa teknologi dan inovasi menggunakan aplikasi diperkenalkan untuk memudahkan transaksi dan urus niaga pekebun kecil terbabit seperti Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G dan RRIMniaga.

Beberapa strategi dan inisiatif boleh dilaksanakan untuk memastikan kelangsungan industri komoditi ini antaranya menggalakkan pembabitan rakan industri secara langsung dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi menggunakan kaedah terbaharu untuk membantu proses penorehan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Begitu juta perlu ada usaha membuka ruang dan peluang menghasilkan pelbagai produk buatan getah bagi mengelakkan lambakan penawaran getah di peringkat domestik misalnya pembinaan jalan raya menggunakan getah (rubberised road) menjimatkan kos penyelenggaraan dan daya ketahanan lebih tinggi.

Industri dalam negara wajar memberikan kerjasama dengan menggunakan getah tempatan berbanding getah sintetik untuk membantu meningkatkan permintaan serta harga komoditi ini. Kerajaan perlu mewujudkan jaringan kerjasama antara Malaysia dengan negara pengeluar getah lain untuk menstabilkan harga pasaran getah di peringkat domestik dan global.

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2023/04/1091231/penanaman-semula-getah-secara-terancang-tingkat-produktiviti

 

sumber : Berita Harian