BERITA AGRIKOMODITI 2024

JEMPOL: Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan 2,000 hektar kebun getah tidak ditoreh milik pekebun kecil di negeri ini akan dipulihkan tahun ini.

Exco Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, jumlah disasarkan itu sebahagian daripada keseluruhan 15,000 hektar kebun getah terbiar seluruh negeri.

“Pelbagai sebab menyebabkan kebun terbiar dan tidak ditoreh antaranya faktor pekebun itu sendiri seperti sudah berusia.

“RISDA sudah diarah mengenal pasti kebun getah terbiar itu dan menjelang akhir tahun ini, kita mahu 2,000 hektar kebun getah terbiar itu dipulihkan.

“Kita mahu usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat diselesaikan segera dan berharap proses pemulihan ini tidak tergendala akibat pelbagai masalah dan akhirnya menemui kegagalan,” jelas Jalaluddin.

Jalaluddin berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda (KUR)@Ekspo Raya Jempol di Bahau.

Menurut Jalaluddin, jika semua kebun terbiar boleh ditoreh semula, ia sekali gus meningkatkan peratusan kawasan penanaman getah di negeri ini.

“Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata RISDA tidak akan menganjurkan program jualan murah seperti pernah dilaksanakan agensi itu sebelum ini.

“Di negeri ini sudah terdapat tiga program jualan murah bagi membantu rakyat iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan Jualan Nismilan Prihatin,” katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata KUR memberi peluang kepada 34 usahawan RISDA menjual produk masing-masing sepanjang Ramadhan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

 

https://negerikita.org/negeri-sembilan-sasar-pulih-2000-hektar-kebun-getah-terbiar/

 

Sumber : Negeri Kita

 

KUALA NERANG: Harga getah yang tidak menentu mendorong seorang penoreh dari Kampung Musa di sini mengusahakan tanaman cendawan Volvariella atau cendawan jerami sejak lapan tahun lepas dan kini menjadi sumber pendapatan utama.

Ismail Ibrahim, 67, berkata berbanding pendapatan sebagai penoreh getah iaitu sekitar RM1,500 sebulan sebelum ini, dia kini mampu menjana pulangan sehingga RM3,000 sebulan dengan menjual cendawan itu yang turut dikenali sebagai cendawan kelapa sawit.

"Saya mula mengusahakan tanaman cendawan ini pada 2016 di kawasan kebun getah saya untuk mencari sumber pendapatan sampingan disebabkan harga getah tidak menentu pada masa itu.

"Tanaman ini hasilnya boleh dituai dalam tempoh kurang sebulan bermula dengan penyediaan medium tanaman menggunakan tandan kelapa sawit sebagai batas diikuti menabur benih yang dihasilkan sendiri," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Ismail yang muncul Naib Johan Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian (Kategori Petani) tahun lepas berkata dia mengambil inisiatif menanam Volvariella selepas diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap pada 2015 sebagai tanaman altenatif bagi menjana pendapatan pekebun kecil getah.

Mampu mengutip hasil sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) setiap hari, Ismail kini mengusahakan tanaman berkenaan di dalam enam khemah dengan keluasan kira-kira 464.5 meter yang boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya 180 kg Volvariella bagi satu pusingan tanaman iaitu tiga hingga empat bulan.

"Sekarang saya ada tiga khemah dan disebabkan hasil memberangsangkan, saya bercadang nak luaskan lagi kawasan tanaman untuk tambah pengeluaran setiap musim," katanya yang berhenti menoreh getah sejak 2019.

Ismail turut menganjurkan kursus penanaman cendawan Volvariella di tapak tanaman di Kampung Musa.

"Walaupun harga getah sedang naik, penoreh perlu cuba cari sumber pendapatan sampingan termasuk tanam cendawan Volvariella kerana boleh bantu jika harga getah turun pada masa akan datang," katanya yang banyak menerima bantuan dari segi khidmat nasihat dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.

Ismail berkata permintaan cendawan itu sangat memberangsangkan dengan pasaran tertumpu di sekitar Kuala Nerang malah turut mempunyai pelanggan tetap selain mengiklankannya di Facebook.

Menurut Ismail selain digoreng tepung, cendawan Volvariella juga sesuai dimasak sup atau lemak dan dia kini sedang mengorak langkah dengan menghasilkan serunding yang turut mendapat banyak permintaan.

-- BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/cendawan-volvariella-jadi-sumber-pendapatan-utama-penoreh-getah-464654?

 

Sumber : Astro Awani

KOTA BHARU - Kenaikan harga getah sekerap kepada RM4 sekilogram memberi kegembiraan kepada pekebun kecil di negeri ini dalam menjalani Ramadan sekali gus sebagai bonus untuk persiapan menjelang Aidilfitri.

Penoreh getah di Kuala Krai, Adnan Ibrahim, 69, berkata, kenaikan itu amat dinanti-nantikan dalam membantu meringankan bebanan menampung keperluan dan kos sara hidup yang dihadapi sekarang.

Menurutnya, hasil dan untung jualan getah oleh pekebun kecil sepertinya pula perlu dibahagikan kepada dua dengan tuan tanah kerana tidak mempunyai tanaman getah sendiri.

"Sekarang musim panas, susu getah pun kurang dan daun pokok getah juga baru hendak matang sebelum menghasilkan lebih banyak susu getah.

"Jadi, kenaikan ini sangat membantu dalam menambahkan pendapatan kami bagi menjalani ibadah puasa dan juga menyambut hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Seorang ibu tunggal, Fauzianita Hashim, 43, pula berkata, kenaikan harga getah tersebut sangat membantunya kerana dia memerlukan perbelanjaan yang banyak bagi menyara tiga anak berusia 20, 17 dan 15 tahun.

Katanya yang berasal dari Gua Musang itu, anak-anaknya juga masih belajar dan memerlukan kelengkapan Aidilfitri yang baru bagi menyambut perayaan nanti.

"Baru-baru ini, duit sudah dibelanjakan untuk membeli kelengkapan sekolah dan sekarang nak berhari raya pula.

"Semasa musim tengkujuh lalu tak ada pendapatan kerana tidak dapat keluar menoreh getah tetapi mujurlah ada bantuan RM600, dapatlah membantu golongan penoreh getah dan kali ini menerima pula rezeki kenaikan harga getah ini,” ujarnya.

Seorang lagi penoreh getah, Nik Hamdi Mamat, 64, bagaimanapun berharap akan ada lagi kenaikan harga tanaman komoditi itu dalam tempoh terdekat tahun ini.

Menurut Nik Hamdi, harga RM4 tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan Thailand iaitu RM5 sekilogram.

"Seboleh-bolehnya penoreh mahu harga lantai getah pada RM4.50 sekilogram untuk lebih lega menjalani kehidupan dalam keadaan serba-serbi mahal.

"Kerajaan boleh turun padang sendiri melihat kami yang ‘kais pagi, makan pagi’ dan tidak ada pilihan serta tetap akan menoreh getah walaupun harga murah kerana ini sahaja punca pendapatan kami,” katanya.

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/655528

 

Sumber : Sinar Harian

SUNGAI PETANI - Penetapan harga getah sekerap yang meningkat kepada RM4 sekilogram mampu memberi kegembiraan menjelang Aidilfitri buat penoreh sekiranya ia benar direalisasikan

Penoreh, Shahrizal Razak, 36, dari Sik, berkata, kenaikan harga baharu pada Isnin ditetapkan mencecah RM3.70 sekilogram berbanding RM3.40 sekilogram sebelum ini.

Menurutnya, jika harga meningkat sehingga RM4 sekilogram, sudah pasti memberi khabar gembira kepada golongan penoreh.

"Saya jangka kenaikan ini mungkin berlaku tidak lama, dalam tempoh beberapa hari sahaja, besar kemungkinan, harga akan turun dengan keadaan tidak menentu, namun jika meningkat lagi, Alhamdulillah,” katanya.

Selain itu, Rosli Napiah, 60, dari Merbok berkata, setakat ini, harga yang dijual kepada pembeli sekitar RM2.40 sekilogram meningkat kepada RM2.80 sekilogram sejak bulan lalu.

Menurutnya, peningkatan harga kemungkinan didorong permintaan tinggi akibat kekurangan hasil getah disebabkan cuaca panas melanda Kedah.

"Alhamdulillah kalau naik sehingga RM4 sekilogram, memang kita seronok sangat sebab membantu mengurangkan beban sepanjang Ramadan dan ketibaan Syawal tidak lama lagi,” jelasnya.

Selain itu, Siti Sarah Che Tan, 64, turut mengakui cuaca panas yang melanda beberapa lokasi di Kedah menyebabkan hasil susu getah berkurangan berbanding kebiasaan.

"Setakat ini, saya kumpulkan sekerap dua minggu sekali, baru boleh jual kerana hasil agak berkurangan, kemungkinan itu salah satu faktor harga meningkat,” katanya.

Selain itu, Ramli Mat Piah, 64, berkata, secara kebiasaan, hasil sekerap meningkat sekitar September - Oktober di mana ketika itu taburan hujan turut meningkat, namun kekangan bagi penoreh ketika mahu melakukan kerja-kerja menoreh dalam cuaca hujan.

"Jika naik sehingga RM4 sekilogram memang seronoklah, kami juga memohon agar harga yang ditetapkan terus kekal, tidak berubah-ubah bagi memudahkan urusan jual beli pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, penetapan harga bagi sekilogram getah sekerap di beberapa daerah di negeri Kedah, tidak seragam dan sentiasa berubah-ubah antaranya termasuk Padang Terap (RM3.72), Pendang (RM3.65) dan Baling (RM3.10).

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/655526

 

Sumber : Sinar Harian

Makanan merupakan salah satu faktor paling penting dalam memastikan kesihatan dalam keadaan baik.

Makanan secara harfiah akan menjadikan siapa kita dan mempengaruhi keadaan kesihatan diri bak kata pepatah, ‘kita adalah apa yang kita makan’ (we are what we eat).

Ketersediaan 17 jenis minyak sayuran dan lemak haiwan di pasaran lebih menyulitkan keadaan di mana pemilihan yang tepat, aplikasi dan pengendaliannya telah dianggap remeh oleh sesetengah komuniti.

Justeru, usaha memberi pendedahan kepada komuniti berkenaan industri sawit, telah pun direalisasikan barisan penyelidik Universiti Malaya (UM) iaitu Dr Noordini Mohamad Salleh (Ketua Penyelidik),

Profesor Madya Dr Cheng Sit Foon dan Dr Muhammad Aqmal Othman melalui projek penyelidikan OleoRangers@UM Living Lab.

OleoRangers@UM Living Lab ditubuhkan di bawah peruntukan penyelidikan yang disalurkan Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) untuk memberi kesedaran tentang minyak masak daripada pelbagai aspek sekali gus melahirkan komuniti berpengetahuan tinggi tentang apa yang mereka makan.

Melalui soal selidik yang telah dijalankan, secara amnya telah menunjukkan komuniti masih mempunyai ruang memperkasakan ilmu dan pemahaman mengenai minyak masak yang lazimnya digunakan dalam penyediaan makanan harian.

Terdapat kekeliruan jelas dan amalan buruk dalam pemilihan, penggunaan dan pengendalian minyak masak.

Tambahan pula, dengan pengaruh media sosial yang sering merendahkan kebaikan minyak sawit berbanding dengan minyak lain seperti minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak canola dan minyak bunga matahari.

Untuk mencapai matlamat tersebut, pameran Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future diadakan di Dataran Sains, UM bertujuan memberi kesedaran dalam pemilihan, penggunaan dan pengendalian minyak masak yang betul dalam komuniti.

Pameran julung kali diadakan itu bertemakan Awareness Creation, Knowledge Enhancement and Optimum Utilisation of Cooking Oils telah mendapat sokongan padu Malaysian Oil Scientists’ and Technologists’ Association (MOSTA), Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dan Profes Lipid Sdn Bhd.

Program ini menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melibatkan SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab dan SDG3 - Kesihatan Dan Kesejahteraan Yang Baik.

Sementara itu, sepanjang Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future berlangsung, pameran dihadiri Presiden MOSTA, Tan Sri Profesor Emeritus Datuk Dr Augustine S H Ong diiringi barisan pengurusan tertinggi Fakulti Sains, UM.

Manakala pengunjung yang terdiri daripada staf akademik, staf bukan akademik, pelajar siswazah dan pasca siswazah meluangkan masa hadir ke pameran tersebut.

Orang ramai berpeluang belajar secara dekat dengan melihat sampel pameran, poster yang menarik serta diberi penerangan terperinci oleh pasukan OleoRangers.

Bagi menjadikan pameran ini lebih menarik, permainan yang bersifat interaktif turut disediakan.

Diharapkan penganjuran pameran sebegini dapat memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai industri sawit dan minyak masak.

 

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ampArticle/643658

 

Sumber : Sinar Bestari