BERITA AGRIKOMODITI 2024

KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC) menyokong cadangan untuk menggabungkan pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bersama keperluan pensijilan halal bagi pemasaran minyak sawit negara.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun, berkata dengan memasukkan pensijilan MSPO dalam proses pensijilan halal, Malaysia boleh menunjukkan komitmennya terhadap prinsip-prinsip Islam dan penggunaan yang beretika.

Langkah itu juga akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang mampan sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk halal merentas pelbagai pasaran.

Khairul Azwan menambah, negara-negara seperti India, China, Jepun, Korea Selatan dan pelbagai negara Eropah seperti Belanda semakin mencari minyak sawit yang diperakui halal untuk pelbagai jenis produk, termasuk makanan, kosmetik dan farmaseutikal.

"Sinergi antara pensijilan halal dan MSPO mewakili peluang penting untuk industri minyak sawit. Kami percaya bahawa dengan menggalakkan amalan mampan dalam pengeluaran minyak sawit, Malaysia boleh meningkatkan lagi kedudukannya sebagai pembekal utama produk halal di seluruh dunia.

"Dalam usaha mempromosikan perdagangan kami di luar negara, kami telah menyaksikan permintaan yang besar untuk produk-produk sampingan minyak sawit yang diperakui halal, jadi kami menjangkakan perdagangan produk sampingan dan derivatif minyak sawit halal akan berkembang dengan ketara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata kementeriannya akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memasukkan pensijilan MSPO bersama pensijilan halal sebagai keperluan untuk pemasaran minyak sawit.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1222185/hdc-setuju-gabungkan-mspo-sijil-halal-bagi-promosi-minyak-sawit

 

Sumber : Berita Harian

GUA MUSANG: Kira-kira 400 penoreh dan pekebun getah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini mendakwa pendapatan mereka terjejas susulan kemarau apabila susu getah yang ditoreh berkurangan.

Pekebun, Ahmad Fauzi Sal­leh, 73, berkata, situasi itu me­nyebabkan ada dalam kalangan mereka mengambil keputusan berehat sementara sejak bulan lalu akibat kekurangan hasil.

“Setiap kali musim panas, penghasilan susu getah menurun dan hasil yang diperoleh berkurangan sehingga 50 peratus.

“Ketika ini susu getah yang ditoreh cepat kering dan berhenti mengeluarkan susu. Ka­­lau dalam keadaan biasa, pe­noreh boleh menoreh getah selang sehari. Namun kini, dalam tempoh tiga hari sekali baru boleh menoreh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi pekebun, Mohd. Rosdi Ayub, 54, berharap kerajaan dapat menyediakan insentif atau bantuan bagi me­ringankan beban mereka yang terjejas.

Katanya, penoreh kini ter­sepit dengan pendapatan tidak menentu dan perlu menyara keluarga.

“Saya harap kerajaan dapatlah mempertimbangkan ca­da­ngan ini dan dapat meringan­kan beban kami menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Apabila tidak dapat be­kerja setiap hari hasil getah juga berkurangan malah pendapatan lebih rendah berban­ding dahulu. Sebelum musim panas, pendapatan kami men­cecah RM1,000 tetapi kini ha­sil susu sangat sedikit,” ujar­nya.

Sebelum ini, media mela­porkan kerajaan disaran mempertimbangkan insentif khas kepada penoreh getah dan pekebun kecil yang terjejas pendapatan sehingga 50 peratus akibat fenomena cuaca panas. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/03/susu-getah-kurang-jejaskan-rezeki-400-penoreh-pekebun/

 

Sumber : Utusan

KUALA LUMPUR - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengimport produk yang mendiskriminasi minyak sawit di negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, setiap produk import yang mempunyai tanda mendiskriminasi produk sawit akan didenda sehingga RM250,000 mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita nampak banyak produk import dari luar (negara) yang tidak ada kena-mengena dengan sawit, tetapi pada pembungkusan dinyatakan ‘tanpa minyak sawit’ atau palm oil free.

"Kita ada undang-undang. Mereka mendiskriminasi produk kita, mana boleh? Di Indonesia, anda tidak akan berdepan situasi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Johari berkata, perbincangan bersama KPDN akan dilakukan pada bulan hadapan.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FGV dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pelancaran label baharu minyak masak SAJI dengan logo MSPO.

Beliau berkata, dalam usaha memampankan industri sawit negara, Johari berkata KPK akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meletakkan logo MSPO pada setiap produk berasaskan minyak sawit yang dipasarkan dalam negara.

Tambah beliau, kewujudan logo MSPO dapat menekankan kepentingan alam sekitar serta kesedaran terhadap usaha kemampanan dalam industri sawit negara.

Sementara itu, pemeteraian MoU berkenaan adalah sebagai jalinan kerjasama antara MSPO dan FGV dalam mempromosi silang, menukar maklumat sekali gus meneroka peluang baharu dan inisiatif berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan halal. – Bernama

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/653642

 

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal mengambil tindakan tegas terhadap penjualan produk-produk yang menggunakan label ‘tanpa minyak sawit’ yang dijual secara terbuka di pasaran.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, penguatkuasaan yang lebih tegas perlu dilaksanakan bagi membendung sebarang diskriminasi yang boleh mero­sakkan nama baik minyak sawit keluaran negara.

“Ada banyak produk dari luar negara yang tidak mempunyai kandungan atau apa-apa kaitan dengan minyak kelapa sawit didapati menggunakan label ‘tanpa minyak sawit’ (palm oil free) pada pek pembungkus mereka.

“Kita ada undang-undang terhadap produk dari luar negara yang merosakkan nama baik minyak sawit dari negara kita. Kalau kita dapati wujudnya di­skriminasi, kita boleh denda sebanyak RM250,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Label Minyak Masak Saji Baharu dengan Logo Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di AEON Big Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Kata Johari, perbincangan mengenai perkara tersebut akan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dapat dilakukan de­ngan kadar segera.

Di bawah Akta Perihal Daga­ngan 2011, yang berkuat kuasa pada Mac 2022, penggunaan label diskriminasi terhadap minyak sawit adalah dilarang dan penalti sebanyak RM250,000 dan atau penjara lima tahun akan dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar undang-undang tersebut.

Dalam pada itu, Johari juga menekankan kepentingan pensijilan MPSO bagi industri minyak sawit negara bagi membendung sebarang perspektif negatif dari negara luar.

Kata beliau, usaha tersebut penting bagi menangani isu-isu utama berkaitan hak asasi manusia, alam sekitar, perlindungan hidupan liar dan daya maju perniagaan, khususnya dalam konteks memenuhi permintaan global.

“Tidak dinafikan ada banyak tanggapan negatif tentang industri minyak sawit negara ketika ini,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2024/03/09/produk-pamer-label-tanpa-minyak-sawit-bakal-disaman/

 

Sumber : Kosmo

SEMUA produk dari luar negara yang mempunyai label ‘Tanpa Minyak Sawit’ akan dihalang daripada dibawa masuk ke negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menghalang kemasukan produk-produk bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit.

Beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit yang berada di negara ini.

Katanya, hasil kaji selidik tersebut sebanyak 80 daripada 251 premis yang ditinjau di sekitar Lembah Klang didapati memaparkan produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’.

“Dalam tinjauan tersebut, ada produk import dari luar negara yang tidak ada kena mengena dengan sawit tetapi meletakkan label ‘Tanpa Minyak Sawit’ di produk mereka sebagai bentuk mempromosi diskriminasi kepada sawit.

“Kita mempunyai undang-undang yang menyatakan mana-mana diskriminasi produk khususnya kepada kelapa sawit, boleh didenda RM250,000.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menjalankan penguatkuasaan dan mengenakan tindakan serta merta di pasar raya yang memasarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara FGV Holdings Berhad dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa dan Pengerusi MSPO, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Mohd Shahari Idris.

Mengenai MoU yang dimeterai oleh FGV dan MSPO itu, Johari berkata, ia menggambarkan inisiatif yang signifikan dalam mempromosikan MSPO.

Katanya, mengguna pakai logo MSPO di label bungkusan minyak masak SAJI membuktikan komitmen kepada pematuhan piawaian kemampanan serta peningkatan reputasi jenama produk FGV sebagai pengeksport minyak sawit Malaysia ke negara luar.

“Langkah ini juga dapat meluaskan penjenamaan MSPO di peringkat domestik dan antarabangsa, sekaligus memperkukuhkan komitmen negara untuk menjadi negara pengeluar sawit yang mampan di dunia,” katanya. – Edisi 9

 

https://www.edisi9.com.my/2024/03/produk-berlabel-tanpa-minyak-sawit-dihalang-masuk-johari/

 

Sumber : Edisi 9