BERITA AGRIKOMODITI 2023

Koko_15_September.jpg

BRASÍLIA: Kementerian Pertanian Brazil semalam mengumumkan virus 'cocoa mild mosaic' (CaMMV) dikenal pasti menyerang ladang di sekitar timur laut Bahia yang merupakan negeri pengeluar terbesar koko di negara ini.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, sampel tumbuhan berkenaan telah dihantar ke makmal di Amerika Syarikat (AS) untuk menjalani ujian virus terbabit, dan keputusannya adalah positif.

CaMMV adalah invasif, termasuk mengakibatkan dedaun tumbuhan terbabit mati dan kerosakan pada buah koko sehingga menjejaskan produktiviti di ladang yang mengalami serangan virus itu.

Setakat ini, tiada 'ubat' untuk serangan CaMMV dan kawasan terkesan lazimnya akan dimusnahkan bagi mencegah perebakan virus berkenaan.

Kementerian Pertanian menjelaskan, pihaknya sedang menyusun pelan tindakan untuk menangani situasi terbabit.

Brazil adalah pengeluar ketujuh terbesar koko di dunia. – REUTERS

Getah_26_September.jpg

KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris mencadangkan kepada kerajaan supaya menggalakkan pekebun kecil getah mengeluarkan susu getah (lateks) sebagai antara usaha meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.Katanya, penghasilan lateks berbanding getah sekerap (cup lump) boleh memberikan pendapatan berganda kepada pekebun kecil. 

“Kita masih mengimport lateks yang bernilai antara RM1 bilion hingga RM3 bilion setahun. Apakah usaha kerajaan supaya pekebun kecil atau mereka yang terlibat dalam industri getah menukar daripada daripada cup lump kepada lateks?

“Nak ubah dia punya (corak)…dan kita faham bahawa bentuk lateks lebih mahal, lebih menguntungkan pekebun kecil, selain inisiatif yang dikatakan bagi RM1 sekilogram.

“Apakah usaha agresif lain kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kita,” katanya ketika mencelah ucapan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching pada sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Siti Aminah pula berkata, penghasilan lateks agak sukar menyebabkan pekebun kecil perlu berusaha lebih keras. 

Namun, katanya kerajaan memberikan insentif tunai sebanyak RM1 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering dan juga memberikan bantuan berbentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara terus. 

“Apabila mereka (pekebun) membuat lateks, mereka dapat hasilkan lagi banyak, kalau mereka dapat hasilkan lateks dalam sehari 100 kilogram, bermakna mereka dapat RM100. 

“Jadi itulah antara inisiatif kerajaan upaya mereka terus membuat bekalan lateks berbanding cup lump,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

26_SEP_GETAH.jpg

PETALING JAYA: RHB Research memberikan penarafan neutral kepada produk getah kerana kekurangan permintaan dan eksport yang lebih perlahan pada tahun ini, namun dijangka lebih baik pada 2024. 

Faktor-faktor ini menyebabkan badan penyelidikan itu mengurangkan andaian permintaan sarung tangan global 2023 kepada 7.0 peratus daripada 5.0 peratus tahun ke tahun, dengan sasaran permintaan sebanyak 371 bilion.

“Kekurangan permintaan terbukti daripada jumlah eksport sarung tangan Malaysia yang menguncup selama dua bulan berturut-turut pada Jun dan Julai. 

“Eksport sarung tangan China menurun sebanyak 1.0 peratus bulan ke bulan pada Julai, berbanding pertumbuhan 11 peratus pada Jun. 

“Apabila permintaan terus tidak menentu dalam tempoh terdekat, ini bermakna pemulihan dijangka hanya berlaku pada separuh kedua 2024,” katanya dalam nota kajian. 

RHB Research turut menjangkakan untuk melihat pertumbuhan 4.0 peratus dalam permintaan dan prospek kos yang menggalakkan pada 2024 yang akan menawarkan ruang utama untuk peningkatan margin. 

“Kami menjangkakan rasionalisasi inventori sarung tangan akan menjadi kenyataan menjelang suku kedua 2024, yang akan menghasilkan tinjauan margin yang lebih baik. 

“Penambahan pesanan dan penambahbaikan beransur-ansur dalam kadar penggunaan industri akan menjadi pemangkin penilaian semula utama dalam tempoh terdekat,” ujarnya. 

Pilihan utama RHB Research untuk sektor itu ialah Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd., memandangkan trend pemulihan masih dapat dilihat bagi pembuat sarung tangan berkenaan walaupun bilangan eksport yang lebih lemah pada Julai.

“Ini bermakna permintaan masih gagal untuk mengejar jangkaan industri, kerana inventori sepatutnya menjadi normal kepada tahap pra-pandemik.

“Namun, penambahbaikan dinamik pasaran secara beransur-ansur harus menawarkan kelonggaran untuk pengeluar sarung tangan tempatan,” katanya. 

Risiko penurunan utama termasuk permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan yang diseret oleh kapasiti bekalan yang berlebihan dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan. – UTUSAN

Minyak-sawit.jpg

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa  MPOB (PIPOC 2023) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 hingga 9 November ini.

PIPOC 2023 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengumpulkan lebih 100 penceramah terkenal dan 2,000 peserta dari seluruh dunia.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, PIPOC 2023 akan melibatkan empat persidangan serentak membincangkan topik penting seperti kemampanan, keselamatan makanan dan penambahan nilai.

“PIPOC 2023 adalah kongres yang menyedia maklumat, perkongsian idea dan perbincangan mendalam oleh penceramah mengenai isu semasa dan prospek industri sawit.

“PIPOC sekali lagi akan menjadi menjadi kongres minyak sawit yang bermaklumat, menggugah pemikiran dan memberi inspirasi,” kata Ahmad Parveez.

Kongres yang bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’ menyediakan platform untuk interaksi, peluang rangkaian dan perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek industri sawit.

Ia meliputi perkembangan dasar terkini kepada cabaran dan prospek industri itu.

Kongres itu juga turut menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang akan memaparkan kemajuan baharu industri, teknologi terkini, peralatan dan produk berkaitan industri sawit.

“Justeru, peserta akan mendapat peluang berharga untuk belajar, berkongsi pengetahuan mereka dan meneroka kemajuan terkini dalam industri sawit,” kata Ahmad Parveez.

Pakar minyak sawit terkemuka dunia akan memberikan pandangan, berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada perbincangan dinamik mengenai trend, cabaran, peluang dan teknologi terkini dalam industri sawit pada masa ini.

Penceramah termasuk Tan Sri Dr. Yusof Basiron dari DIBIZ Global, Malaysia yang akan menyampaikan pembentangan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience‘ semasa Kuliah Henri Fauconnier.

PIPOC 2023 juga menampilkan Thomas Mielke dari Oil World, Jerman yang akan berkongsi perspektif mengenai bekalan minyak sayuran global, permintaan dan tinjauan harga.

Datuk Mohamad Helmy Othman Basha pula akan menyelami industri sawit melalui pembentanngan “Membina Ketahanan dalam Dunia VUCA.

Kongress itu juga akan merangkumi aktiviti menarik termasuk lawatan teknikal ke ladang sawit, kilang minyak sawit, kilang penapisan dan kemudahan penyelidikan & pembangunan untuk para peserta. – MalaysiaGazette 

 beras-free-1140x641.jpeg

 

TAIPING – Sebuah syarikat pembelian buah kelapa sawit mengambil inisiatif untuk memberikan sebanyak 500 kampit beras kepada penduduk di sekitar premis perniagaannya sempena pembukaan syarikat itu hari ini.

Pemilik Syarikat Maju Matang Trading, Chuah Chong Choon, 37, berkata, kebanyakan penduduk kampung berhampiran tempat perniagaannya terdiri daripada golongan B40.

“Saya menyedari akan masalah kenaikan harga beras di pasaran sekarang dan ia lebih memberi tekanan bebanan kepada golongan yang berpendapatan rendah iaitu dari kelompok B40.

“Oleh itu saya bersama empat rakan kongsi telah berbincang dan hasil perbincangan itu, kami sepakat untuk memberi beras secara percuma pada hari pembukaan secara rasmi syarikat pada hari ini,” katanya di sini hari ini.

Dia berkata demikian selepas majlis perasmian Maju Matang Trading yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan di Matang di sini.

Menurut Chong Choon, beras yang dibelinya diberi kepada penduduk kampung yang berhampiran tanpa mengira kaum dan latar belakang pegangan agama.

“Beras makin mahal sekarang, jadi apa yang boleh kami buat ialah bagi secara percuma sekampit lima kilogram (kg) untuk setiap seorang penduduk yang hadir ke majlis ini.

“Walaupun mungkin sesetengah orang menganggap pemberian satu kampit beras tidak dapat meyelesaikan bebanan yang dihadapi oleh penduduk namun setidaknya kami peka dan berusaha membantu secara ikhlas kepada masyarakat di sekeliling,” katanya. – Kosmo! Online.