Laman Web Rasmi
Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi
(MPIC)

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Oleh : Hilmi Haji Ali
Foto : Nurazlina Abdul Muthalib

11 JULAI - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Seri Mah Siew Keong berkata jumlah eksport minyak kelapa sawit dan produk berasaskan komoditi itu ke negara Iran terus menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 141.5%

Peningkatan tersebut adalah berdasarkan jumlah eksport negara pada Januari sehingga Mei tahun ini, sebanyak RM748.1 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, RM309.8 juta.

“Malah pada tempoh yang sama juga, eksport minyak kelapa sawit dan produk berasaskan sawit negara menyumbang kepada peningkatan 31.5% kepada RM32,256.1 juta, berbanding RM24,522.4 juta tahun lalu,” kata Mah.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan program Transfer of Technology Seminar & Exhibition 2017 atau dikenali sebagai TOT Seminar 2017.

Ia berlangsung di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Bangi pada hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Kushairi Din serta Timbalan Ketua Setiausaha Komoditi MPIC, Zurinah Pawanteh.

Terdahulu di dalam ucapannya, Mah berkata kementerian meramalkan hasil eksport dari industri sawit negara dijangka mencatatkan jumlah yang lebih tinggi tahun ini berdasarkan ramalan keluaran yang lebih baik, eksport dan harga purata.

“Kini, industri kelapa sawit merupakan antara penyedia pendapatan terbesar bagi Malaysia. Pada tahun 2016, hasil eksport dari industri berjumlah RM67.6 billion dan ia diramalkan dengan angka yang lebih tinggi pada tahun ini.

“Kerajaan yakin prospek pertumbuhan positif industri akan terus membangunkannya supaya ia sentiasa berkembang maju dan terus memberi faedah kepada semua pemegang kepentingannya,” katanya.

Menyentuh soal TOT Seminar 2017, Mah berkata setiap tahun pelbagai inovasi dan teknologi baru dilancarkan MPOB pada seminar dan pamerannya.

“Sehingga 2016, MPOB telah menyediakan 608 teknologi dan 165 perkhidmatan yang boleh digunakan untuk industri kelapa sawit.

“Bagi Seminar dan Pameran TOT tahun 2017, saya diberitahu bahawa MPOB akan memperkenalkan 18 teknologi baru dan 9 perkhidmatan baru,” katanya.

Teknologi ini boleh dikategorikan berdasarkan industri berkaitan seperti perlindungan tumbuhan, bioteknologi tumbuhan, jentera ladang, makanan, tenaga hijau, pengilangan dan pemprosesan, biojisim, makanan haiwan dan kimia oleo.

Pemain industri digalakkan mempertimbangkan penggunaan teknologi atau perkhidmatan tersebut di dalam aktiviti perniagaan mereka.

MOHD HILMI MOHD ALI
Pegawai Komunikasi Stratergik
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)