Laman Web Rasmi
Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi
(MPIC)

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Oleh : Hilmi Haji Ali
Foto : Nurazlina Abdul Muthalib

11 JULAI - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Seri Mah Siew Keong berkata jumlah eksport minyak kelapa sawit dan produk berasaskan komoditi itu ke negara Iran terus menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 141.5%

Peningkatan tersebut adalah berdasarkan jumlah eksport negara pada Januari sehingga Mei tahun ini, sebanyak RM748.1 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, RM309.8 juta.

“Malah pada tempoh yang sama juga, eksport minyak kelapa sawit dan produk berasaskan sawit negara menyumbang kepada peningkatan 31.5% kepada RM32,256.1 juta, berbanding RM24,522.4 juta tahun lalu,” kata Mah.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan program Transfer of Technology Seminar & Exhibition 2017 atau dikenali sebagai TOT Seminar 2017.

Ia berlangsung di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Bangi pada hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Kushairi Din serta Timbalan Ketua Setiausaha Komoditi MPIC, Zurinah Pawanteh.

Terdahulu di dalam ucapannya, Mah berkata kementerian meramalkan hasil eksport dari industri sawit negara dijangka mencatatkan jumlah yang lebih tinggi tahun ini berdasarkan ramalan keluaran yang lebih baik, eksport dan harga purata.

“Kini, industri kelapa sawit merupakan antara penyedia pendapatan terbesar bagi Malaysia. Pada tahun 2016, hasil eksport dari industri berjumlah RM67.6 billion dan ia diramalkan dengan angka yang lebih tinggi pada tahun ini.

“Kerajaan yakin prospek pertumbuhan positif industri akan terus membangunkannya supaya ia sentiasa berkembang maju dan terus memberi faedah kepada semua pemegang kepentingannya,” katanya.

Menyentuh soal TOT Seminar 2017, Mah berkata setiap tahun pelbagai inovasi dan teknologi baru dilancarkan MPOB pada seminar dan pamerannya.

“Sehingga 2016, MPOB telah menyediakan 608 teknologi dan 165 perkhidmatan yang boleh digunakan untuk industri kelapa sawit.

“Bagi Seminar dan Pameran TOT tahun 2017, saya diberitahu bahawa MPOB akan memperkenalkan 18 teknologi baru dan 9 perkhidmatan baru,” katanya.

Teknologi ini boleh dikategorikan berdasarkan industri berkaitan seperti perlindungan tumbuhan, bioteknologi tumbuhan, jentera ladang, makanan, tenaga hijau, pengilangan dan pemprosesan, biojisim, makanan haiwan dan kimia oleo.

Pemain industri digalakkan mempertimbangkan penggunaan teknologi atau perkhidmatan tersebut di dalam aktiviti perniagaan mereka.

MOHD HILMI MOHD ALI
Pegawai Komunikasi Stratergik
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)

 

Teluk Intan, 25 Mac 2017 – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah menganjurkan program Hello Komoditi pada 25 Mac 2017 bertempat di Dewan Bandaran, Teluk Intan, Perak. Program bersifat turun padang ini merupakan program  pemangkin bagi menonjolkan perkembangan dan kemajuan terkini di sektor komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf kepada pelanggan dan stakeholders industri. Ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat, terutamanya kepada kumpulan sasar iaitu pekebun kecil, para belia dan usahawan komoditi berhubung inovasi dalam sektor komoditi serta pelbagai kemudahan serta bantuan yang disediakan oleh Kerajaan.


Antara pengisian program Hello Komoditi ialah penganjuran seminar, pameran, demonstrasi masakan dan jualan produk komoditi, seminar berkaitan komoditi serta kaunter khidmat nasihat dari pelbagai agensi di bawah MPIC. Penganjuran Seminar Komoditi adalah disasarkan khusus kepada pekebun kecil, belia dan usahawan komoditi. Melalui seminar tersebut para peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai bantuan dan bimbingan komoditi yang disediakan. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 500 orang peserta yang terdiri dari pekebun kecil, masyarakat dan belia tempatan.
Pada sesi sebelah pagi, YB Dato’ Seri Mah Siew Keong, Menteri MPIC turut berkesempatan untuk merasmikan Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) di Pejabat MPOB Cawangan Teluk Intan bertempat Bandar Baru, Teluk Intan. Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) merupakan salah satu program transformasi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).


Program Hello Komoditi ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh, YB Datuk Seri Hj. Ahmad bin Hamzah, Pengerusi MPOB, YB Datuk Mohd Azhar Jamaludin, Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jong, Encik Shahrunaim bin Radzali, Pegawai Daerah dan Tanah Hilir Perak, YBrs. Encik Azizan bin Abd Muin, Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Teluk Intan dan YBrs. Encik Toisin Gantor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MPIC dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian dan agensi di bawah MPIC serta ketua-ketua jabatan kerajaan tempatan.

Gambar-Gambar Sekitar Majlis Hello Komoditi Di Teluk Intan Perak:

         

 

 

 

 

  MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MPIC BIL.2/2017 DI SUNGAI BULOH

Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.2/2017 telah diadakan pada 14 Mac 2017, bertempat di Dewan Auditorium, Akademi Hevea, Lembaga Getah Malaysia (LGM) Sg. Buloh, Selangor. Program perhimpunan bulanan kali ini merupakan perhimpunan yang julung kalinya diadakan di luar Putrajaya dan tuan rumah bagi perhimpunan kali ini adalah Lembaga Getah Malaysia (LGM). Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Datu Nasrun Datu Mansur. Tema perhimpunan bulanan kali ini adalah #Negaraku: Bersama Mentransformasi Komoditi Negara. Dalam teks ucapan YB Menteri yang disampaikan oleh YB Datuk Nasrun , menyeru semua warga MPIC untuk berkerja dalam satu pasukan dan bersama-sama serta seiring melangkah ke satu matlamat yang sama, iaitu memberikan apa yang terbaik kepada rakyat, seterusnya membawa industri komoditi negara ke tahap yang lebih gemilang.

YB Timbalan Menteri turut menyampaikan Sijil Penghargaan Pencapaian Outcome Projek Pembangunan Jawatankuasa Kerja Penilaian Outcome (JKPO) 2016 ICU JPM serta Pencapaian Pematuhan Amalan Terbaik Pengurusan Projek (Inspektorat) Tahun 2016 ICU JPM kepada SUB PPK, Encik Wan Saiful Ikhmal dan Ketua-Ketua Pengarah Agensi di bawah MPIC. Hadir sama YBrs Encik Toisin Gantor, TKSU Komoditi MPIC dan Ketua Pengarah LGM, YBhg Datuk Dr. Mohd Akbar Md Said.